Sunday, 17 August 2008

Www.chedet.com - Majlis Peguam Malaysia

1. Sejak Barisan Nasional dibawah pimpinan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan sejak Dato Zaid Ibrahim, sebagai de-facto Menteri Undang-Undang, cuba menawan hati Majlis Peguam dengan memberi kuasa kepada ahli majlis memilih hakim, dan memberi sagu hati kepada bekas-bekas hakim yang disingkir, Majlis Peguam Malaysia begitu garang sekali.

2. Selepas rusuhan kaum tahun 1969, pemimpin-pemimpin ketiga-tiga kaum di Malaysia telah bersetuju bahawa perkara-perkara sensitif seperti kedudukan Raja-Raja, bahasa rasmi, hak kaum-kaum, agama Islam sebagai agama rasmi, tidak akan dibincang atau dibahas secara terbuka. Sebabnya ialah kemungkinan perbincangan akan membakar hati pihak-pihak yang tersentuh yang boleh membawa kepada kestabilan negara terancam dan rusuhan kaum berlaku.

3. Semua kaum dan pemimpin-pemimpin mereka menghormati persefahaman ini semasa Tun Razak, Tun Hussein dan semasa saya menjadi Perdana Menteri. Ada juga cabaran-cabaran terhadap persefahaman ini tetapi tidak serius dan dapat ditangani.